Surah At Takwir (التكوير) Terjemahan Bahasa Melayu
Ialah surah ke-81 dalam al Quran, terdiri atas 29 ayat. Surah ini tergolong surat Makkiyah. Dinamakan At Takwir yang bererti terbelah dari kata dasar kata kuwwirat yang terdapat pada ayat pertama surat ini.
[1] Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap);
[2] Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak;
[3] Dan apabila gunung-ganang di terbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu);
[4] Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar;
[5] Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan;
[6] Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur;
[7] Dan apabila tiap-tiap diri disatukan dengan pasangannya;
[8] Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya, –
[9] Dengan dosa apakah ia dibunuh?
[10] Dan apabila surat-surat amal dibentangkan;
[11] Dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya;
[12] Dan apabila neraka dinyalakan menjulang;
[13] Dan apabila Syurga didekatkan;
[14] (Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui tentang amal yang telah dibawanya.
[15] Oleh itu, Aku bersumpah dengan bintang-bintang yang tenggelam timbul;
[16] Yang beredar, juga yang tetap pada tempatnya;
[17] Dan malam, apabila ia hampir habis,
[18] Dan siang, apabila ia mulai terang;
[19] Sebenarnya Al-Quran itu, sungguh-sungguh Kalamullah (yang disampaikan oleh Jibril) Utusan yang mulia,
[20] Yang kuat gagah, lagi berkedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai Arasy,
[21] Yang ditaati di sana (dalam kalangan malaikat), lagi dipercayai.
[22] Dan sebenarnya sahabat kamu (Nabi Muhammad) itu (wahai golongan yang menentang Islam), bukanlah ia seorang gila (seperti yang kamu tuduh);
[23] Dan (Nabi Muhammad yakin bahawa yang disampaikan kepadanya ialah wahyu dari Tuhan, kerana) demi sesungguhnya! Nabi Muhammad telah mengenal dan melihat Jibril di kaki langit yang nyata.
[24] Dan bukanlah Nabi Muhammad seorang yang boleh dituduh dan disangka buruk, terhadap penyampaiannya mengenai perkara-perkara yang ghaib.
[25] Dan sebenarnya Al-Quran itu bukanlah perkataan Syaitan yang kena rejam.
[26] (Dengan yang demikian) maka ke manakah kamu hendak pergi (kiranya kamu masih menyeleweng dari jalan Al-Quran)?
[27] Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam:
[28] Iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul.
[29] Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.